Sunday, October 6, 2013

Parti sendiri

"Till you are comfortable to be alone, you will never know you choose someone either because you love him/her or you are lonely" - how the fuck i know

Terbaru, saya kini sedang bekerja separuh masa di Kuala Lumpur. Sebenarnya bukan separuh, bukan suku, tapi cuma 4 jam sehari sahaja, Isnin sampai Jumaat. Gaji pun dijangka cukup-cukup makan dan rokok sahaja (saya belum dapat gaji pertama lagi). Sengaja saya memilih kerja yang bersifat begitu. Saya sebenarnya berpeluang untuk mencari kerja yang lebih stabil, berkomitmen dan memakan masa, serta bergaji lumayan, tapi entahlah.

Saya rasa saya mahu lebih masa untuk diri sendiri. Kononnya saya menganggap diri saya sebagai seorang pemikir. Dan tuntutan paling pentingkan diri bagi seorang pemikir adalah tempoh masa untuk bersendiri.  Mungkin juga anggapan ini adalah benteng paling kuat untuk menidakkan kenyataan yang saya sebenarnya seorang pemalas. Mungkin boleh jadi begitu dan saya perlukan masa untuk mengesahkannya. Seperti saya cakap tadi, saya seorang pemikir.

Saya masih ingat, dulu saya sering bertanya Talib antara minat yang tidak lumayan dan kerjaya yang menjanjikan kemewahan, yang mana satu dia akan kejar dahulu. Malangnya, soalan saya sering dibalas dengan soalan semula.

"Kalau engkau?"

Jika dunia ini sarat dengan orang macam Talib, umat manusia akan mati tanpa mengetahui apa yang membunuh mereka.

.

No comments: