Wednesday, September 18, 2013

Paling sunyi

Tempoh paling sunyi dalam hidup saya jatuh pada Disember 2009. 

Konon-kononnya ketika itu saya sedang kecewa bercinta dengan seorang makwe yang tidak matang langsung pemikirannya. Oleh sebab saya pun mengada-ngada, jadi saya membawa diri bekerja di Kuala Lumpur. Mungkin mengikut pandangan dia yang saya bayangkan,  saya benar-benar "hilang" , physically dan spiritually. 

Saya bekerja di sebuah tempat yang saya tidak suka dan saya tidak mahu suka. Tempat itu merupakan kawasan persembunyian yang cukup sempurna, yang mana saya tidak mewajibkan diri sendiri untuk mengenal rapat manusia-manusia yang baru saya jumpa. Dan saya menginap di sebuah rumah yang saya tidak kenal siapa-siapa juga. Saya tidak perlu mencipta topik-topik kosong dan palsu untuk dijadikan bahan bualan. Rumah itu tidak ada tivi, boleh kata tidak ada apa-apa. Baguslah, saya boleh mendengar sunyi tanpa perlu bereaksi apa-apa. Seboleh-bolehnya Disember itu, saya tidak mahu bercakap langsung sebenarnya. Biar saya diam dan tolong jangan ganggu saya.

Selalunya selepas saya pulang kerja pada pukul 1 pagi, saya akan mengisap rokok seorang diri di halaman rumah sambil berharap tidak ada siapa-siapa yang menegur saya, yang mana bahagian yang paling saya paling tidak suka adalah saya terpaksa untuk menjawab teguran itu nanti. Selepas itu, saya akan masuk ke dalam bilik, panas tidak berkipas dan tidak bertingkap . Di penjuru kosong bilik, terhampar sekeping tilam nipis di atas bogel lantai, tanpa selimut dan bantal. Cuma ada di sebelahnya, sebiji telefon bimbit yang kosong tanpa apa-apa pesanan masuk .

Tidak berbaju, saya merebahkan badan di atas tilam, mengiring ke kanan atau kiri yang mana lebih selesa. Jarak antara telinga saya dan lantai ketika itu cuma dipisahkan oleh inci tilam. Saya pejam mata, dan saya mendengar bunyi air longkang yang mengalir melalui paip di bawah lantai, dengan bagitu jelas sekali. Sekali-sekala, bunyinya sedikit berdengung gema apabila aliran tadi menemui paip penyambung yang menjunam ke bawah. 

srehhhhh sreehhhh srehhhh blurkkkkk 

Engkau bodoh Nadia, engkau memang bodoh.
.

No comments: