Ramai yang pandai berpura-pura mendengar, walaupun mereka sebenarnya tidak ingin mengambil tahu. Talib pula pandai berpura-pura tidak mengambil tahu, walaupun sebenarnya Talib sedang mendengar.
Pernahkah mereka meminta engkau bercerita, lalu engkau terpujuk akan ambil berat mereka dan lantas patuh bercerita. Hingga pada satu titik yang sengaja, mereka merujuk cerita engkau pada satu persamaan rekaan dalam kisah mereka , lalu menuntut engkau mendengar plot kisah mereka pula sebaliknya.
"Aliya, ko jangan sedih. Aku pun pernah kena macam tu. Aku dulu........"
And the story begin.Talib harus lari.
*******************************************************
Di belakang almari Tingkatan 2 Tabah, aku dan dua lagi kutu sedang diam mendengar. Aku memang betul-betul ingin mendengar. Aku ikhlas untuk mendengar, cuma tempat,masa dan tujuan yang aku salah.
Aku bersalah kerana tidak solat Maghrib ketika itu. Aku bersalah kerana berada di kelas 2 Tabah sebaliknya . Aku bersalah kerana memasang niat untuk mencuri dengar apa yang pelajar perempuan bualkan sesama mereka. Namun percayakah engkau, mencuri dengar adalah momen paling ikhlas untuk kau bersedia menerima cerita orang lain.
Semua pelajar Islam, lelaki dan perempuan wajib berada di surau ketika Maghrib. Kecuali bagi perempuan yang period, mereka bebas untuk ke kelas memulakan prep malam lebih awal.
Bagi seorang lelaki Tingkatan 2 yang ingin mencipta hero dalam jiwa remaja , kelompok inilah yang paling aku ingin ketahui sekali kisah hidup mereka? Apa yang mereka bualkan sesama sendiri ? Adakah ketika kelompok ini duduk terpencil sesama mereka, mereka akan cuma bualkan perkara-perkara rahsia.
Nahh..Ceritakan apa sahaja, aku sedia mendengar!
********************************************************
Berkongsi cerita pada pandangan Talib, adalah satu tindakan tidak jujur dalam diri manusia. Talib mengukur 'berkongsi cerita" sebagai langsung berlawanan dengan konsep memberi bukan untuk menerima.
Mungkin pandangan Talib agak terlampau, terbias akan kelumpuhan Talib mempamer reaksi pada cerita yang dia dengar.Talib tidak pandai mendengar secara berdepan. Ini hukuman untuk percaya Talib pada keikhlasan pencuri dengar.
Atau mungkin juga Talib berpendapat sebegini, kerana Talib cukup lokek dengan cerita. Semua cerita Talib adalah semua rahsia. Engkau jangan ingat satu cerita murahan engkau mampu ditukar dengan satu rahsia Talib. Talib tak akan mendengar. Talib lebih suka lari.
*********************************************************
Kini giliran Iskandar pula untuk bercerita. Sebelum itu, Asraf. Dan sebelum itu pula, Zain. Macam-macam yang mereka bualkan. Daripada kisah cinta yang cukup peribadi, hingga meleret kecerita hantu. Kadang-kadang di sebalik setiap cerita , terselit cerita yang lain.
Aku yang sedang tidur nyenyak di katil, tidak lagi dipedulikan. Aku bukan lagi ancaman. Atau memang aku sendiri yang sengaja lari. Biarlah, biarlah mereka terus galak bercerita. Mereka cuma bercerita, mereka bukannya mendengar.
Dan dari bawah bantal yang menutup kepala, aku memasang telinga.
**********************************************************
Pillow talk adalah satu ritual kepada kegagalan manusia bersedia untuk mendengar. Mendengar sepatutnya adalah komunikasi satu hala yang sabar dan sedia. Konsep menunggu giliran untuk bercerita, membatalkan rasa ingin tahu kepada bentuk kegairahan untuk memberitahu. Tidak ada translasi antara kedua-dua,tegas Talib lagi.
Setidak-tidaknya, itu kata Talib.
Aku cuma mengangguk, mendengar Talib terus leka bercerita. Bukan aku tak mahu menyampuk, kerana aku tahu Talib akan lari nanti.
7 comments:
hai. kite suke lah blog awak. seronok baca. suka bahasa awak. metafora awak. suka lah senang cerita. hee..
-puteri tujuh-
Bila lah boleh jumpe dgn talib. Power die tuh.
kita pun dah lama suka bace blog awak taww. nanti update lagi yeh
kita pun suka jugak.haha..
Kite rase nak ajak talib jadi kapel kitelah,
-puterigununglipat-
entri ni,sangat baik.
paling aku nak tampar, sanji..
Jaga ko..Jaga!
Post a Comment