Saturday, October 20, 2012

Gementar pemuda

Apabila engkau mati dan dunia melupakan engkau sekelip mata, itu petanda bahawa kewujudan kau di muka bumi tiada sense of value. Contohnya nama engkau Talib dan engkau mati. Engkau tak mahu lihat (kalau mati sudah tentu tak melihat. Tapi ini cuma contoh) orang-orang sekeliling kau bertanya , "ehhh Talib yang mana? ".

Kalau boleh semasa aku hampir mati, aku mahu seorang wanita comel menangis di sisi.

"Äbang! Jangan pergi bang". Suaranya pilu terdesak

Huuahhh...Huahhhhhh...Huahhhhhhh *aku sukar bernafas

***********************************************

Masa zaman aku sekolah rendah dulu, aku paling gementar bila mendengar cikgu-cikgu menyanyikan lagu "Kami Guru Malaysia" ketika sambutan Hari Guru Kebangsaan. Dum Dum DUm DUm DUM DUM.

Liriknya bagaikan satu laungan ikrar semangat .Muzik meruntun jiwa. Seolah-olah aku letakkan telinga betul-betul sebelah paluan kompang. Bingit berdentum tapi engkau mahu lagi. 

Aku gementar.


***********************************************

Huuahhh...Huahhhhhh...Huahhhhhhh *aku sukar bernafas

"Äbang! Jangan pergi tinggalkan Liya bang". Semakin kuat tangisan wanita comel.

Ohh yaa ! Lupa untuk aku perkenalkan.Nama dia Aliya Maisarah. Boleh panggil Aliya.

Balik pada perkara akar, aku tak mahu mati tanpa sense of value. Jadi kalau boleh aku mahu sekurang-kurangnya seorang Aliya Maisarah menangis di sisi katil nazak aku.Tapi lagi elok kalau aku ada seratus Aliya Maisarah sebenarnya. Syukur.

Baiklah.Macam ni Jangan demanding sangat .Kalau bukan Aliya Maisarah pun tak apa. Nama-nama lain juga aku terima. Aku cuma mahu cukupkan seratus.


***********************************************

Perkara yang paling leceh bagi aku ketika membaca blog adalah menunggu buffering video dengan bantuan minima Internet daripada syarikat rangkaian jalur lebar yang menawarkan perkhidmatan carian pantas, konon-kononnya.

Selalunya aku akan Pause video dan membiarkan proses buffering berlangsung. Selesai itu, barulah selesa menikmati  kelangsungan tontonan tanpa gangguan gementar h-e-n-t-i  h-e-n-t-i yang sakitkan hati.

Jadi sementara itu,aku scroll down dan membaca entri-entri di bawah dahulu .Dan pada entri yang paling bawah sekali, aku klik pada pautan "Older Post".

************************************************

Kalau bukan Aliya Maisarah pun tak apa.Nama-nama lain juga aku terima.Aku cuma mahu cukupkan seratus.

"Abang! Jangan pergi tinggalkan kami bang. Doktor! Cepat buat sesuatu ". Tangis seratus orang Aliya Maisarah serentak, berasak  sesama sendiri (sesama Aliya Maisarah) mengerumuni katil. Suara mereka bergema ke segenap penjuru hospital dan bangunan Tabung Haji di sebelah. Dum Dum DUm DUm DUM DUM.

Dan gema itu berdentum, mendatangkan sensasi lagu "Kami Guru Malaysia" ketika sambutan Hari Guru sekolah rendah. Ahhh memori.

Aku gementar.

"Kenapa masuk ramai-ramai ni ? Maksima cuma empat orang pelawat sahaja yang dibenarkan masuk pada satu-satu masa.," tegur doktor Syukri yang baru muncul di muka pintu.

Aku gementar.

.