Monday, October 29, 2012

Pemuda di persimpangan

"Kamu semua mahu keluar sekarang, atau kamu tunggu saya panggil security? Tolong hormat pesakit saya".Doktor Syukri mula mengugut.

Seratus orang Aliya Maisarah berpandangan sesama sendiri. Jika mereka berkeras untuk diam di situ juga sekalipun, sekurang-kurangnya sembilan puluh enam daripada mereka harus keluar. Cuma empat yang bertuah mampu terus kekal menemani . Selebihnya terpaksa keluar mengecapi dunia, lupakan aku.

Seratus orang orang Aliya Maisarah memandang aku yang diam layu.

Pandangan mereka itu cuma ada satu maksud. Aku sendiri yang harus memilih empat daripada seratus Aliya Maisarah. 

*****************************************

Sistem transit aliran ringan di negara ini bukanlah apa-apa jika dibandingkan dengan negara-negara maju lain seperti Rusia dan jiran kita sendiri, Singapura. Namun bukan itu yang sedang bermain di kepala Talib ketika ini. 

Gadis di bangku sebelah. Gadis  di bangku sebelah. Gadis di bangku sebelah.

Dia sendiri yang berkeputusan untuk duduk di sebelah Talib.Jika dia mahu, dia boleh berdiri. Mengapa mahu mengambil kosong di sebelah Talib sebaliknya?

Dan sepanjang perjalanan dari stesen KL Sentral ke Wangsa Maju, cuma itu yang berlegar-legar dalam kepala Talib.

*******************************************

Kalau boleh memang aku mahukan semua. Tapi bukan itu jawapan kepada kehendak soalan yang menghimpit ketika itu.Keputusan itu sukar dan panjang,namun tidak mampu membuat keputusan itu juga adalah satu keputusan. Aku harus mula bertanya hati sekarang.

Dan jujur aku katakan, aku mengimpikan Aliya Maisarah yang pandai memasak, Aliya Maisarah yang cantik, Aliya Maisarah yang pandai menjaga keperluan suami, Aliya Maisarah yang taat beragama dan Aliya Maisarah yang memahami hati seorang lelaki. 

Aku memandang seorang demi seorang Aliya Maisarah, daripada yang pertama hinggalah yang ke seratus. Pilihan sudah dibuat, cuma menanti dilisankan,

" Tiga belas, empat puluh dua, lima puluh satu, tujuh puluh lapan dan tujuh puluh sembilan,"jawab aku akhirnya, cukup payah.

********************************************

Aku lihat pada papan iklan yang dipampang pada sudut luar dinding lobi Puteri Harbor. Ada iklan menjual kapal layar terpakai. Paling murah dan agak kurang sedap, setidak-tidaknya berharga SD250000.  Itu belum campur maintenance dan sewa parking di jeti. 

Aku mahu kita lancarkan satu pakatan. Aku namakan pakatan kita, Pakatan Berlima.Jadi rancangannya, kita berlima akan berkongsi membeli satu kapal layar dalam masa lima belas tahun dari sekarang.

Kau semua boleh belayar bila-bila masa kau suka, tapi Oktober dan November aku yang punya. 

Setakat ini, masih ada empat kekosongan dalam Pakatan Berlima. Engkau boleh cuba kalau engkau mahu.Aku takkan tanya soalan yang susah-susah.

*********************************************

Sekejap-sekejap gadis meninjau waktu pada jam tangannya. Dia membalas satu dua pesanan mesej yang entah pada siapa, melalui Nokia generasi lama. Resah. Gadis itu resah.

Talib mempamer senyum simpati pada gadis di sebelahnya itu. Dia membalas, namun masih terperosok saki-baki buntu  yang menyorok di balik garis-garis senyuman comel itu. Putra terus bergerak laju ,dari stesen ke stesen menghala ke aliran Gombak.

"Dunia ni kejam kan? "tegur Talib membuka buah bicara.

*********************************************

Sembilan puluh enam Aliya Maisarah menekup muka, menangis lalu berlari keluar.Mana mungkin aku miliki semuanya, lantas aku harus pulangkan mereka kepada dunia. Cuma tinggal....ahhhhhh! Cuma sembilan puluh lima yang keluar tadi rupanya. Lagi satu harus aku singkirkan.Ada lagi satu.

"Ëncik Borhan. Saya ulang sekali lagi,cuma empat orang pelawat sahaja yang dibenarkan masuk pada satu-satu masa, " Doktor Syukri mengingatkan dalam nada tegas.

Kali ini betul-betul susah. Aliya Maisarah yang mana satu harus aku singkirkan. Aku sayang semuanya. Dan jika aku mahu memilih empat , aku harus mencipta benci pada satu Aliya Maisarah yang aku sayang. Itu benci palsu yang ditempa . Aku harus percaya pada benci palsu yang ditempa aku sendiri.

Jadi akhirnya ini antara yang cantik ataupun yang taat beragama. Cantik akan luput bila tua nanti. Tapi yang batil sekalipun boleh dididik biar taat beragama. Jadi yang mana satu. Cantik, ataupun taat beragama.Cantik ataupun taat beragama?

"Maafkan abang, ..... lima puluh satu ". Aku menangis.




No comments: