Seorang rakan dari Kuantan ada memberitahu bahawa dia akan turun ke daerah paling selatan atas alasan mengambil gambar kahwin. Macam daerah selatan ni dah tak ada cameraman sampai kena panggil orang Pahang.
Perkara macam ni buat Talib terfikir, yang manusia sanggup membayar lebih untuk membeli kebahagiaan. Kebahagiaan selalunya tak kekal. Dan mereka sanggup menambah lagi bayaran, untuk merakam henti detik kebahagiaan yang diborong tadi.
Talib juga suka merakam. Tapi Talib bukannya berbakat sangat. Yang membezakan Talib dengan instagram-instagram kebanyakan, berlawanannya Talib lebih gemar merakam sisa-sisa kemusnahan.
Bukannya moment of destruction. Itu lain, nafi Talib. Ada beza pada sifat kata nama sisa dan momen. Sisa cumalah pecisan kecil tinggalan momen yang telah berlalu. Merakam sisa dan merakam momen,adalah dua tindakan hampir sama secara literal tetapi berlainan pada kejituan puncak masa antara perilaku dan situasi.
Contohnya macam merakam darah kering ataupun longkang tersumbat. Ia tidak sama unit ukurannya dengan pecah dara mahupun Kuala Lumpur sedang dilanda banjir, terang Talib lagi.
Keliru bukan? Momen dan sisa bukanlah susah sangat untuk dibezakan, cuma Talib yang menyukarkannya. Memahami semesta mengikut kefahaman Talib, memang mendatang kebangkitan deja vu tetapi mendalam, kata Talib lagi.
Deja Vu tu apa pulak. Babi punya Talib.
Tapi Talib mahu menapak selangkah lagi. Dia sudah jemu dengan sisa. Kini dia mahu cuba merakam momen. Momen lebih segar, sisa boleh jadi palsu.
Dan Talib terus bercerita. Talib mahu membina perniagaan merakam momen-momen kemusnahan bagi meraka yang mahu. Misalnya perniagaan servis merakam gambar penceraian.Aku ketawa. Siapa yang gila mahu melanggan khidmatnya. Dahulu.
Aku silap. Bisnes Talib berjalan lancar. Keuntungan Talib banyak terjana dari pelanggan yang rata-rata di kalangan pengurus-pengurus bank dan wanita-wanita bepersatuan. Talib sendiri tidak mahu tahu mengapa mereka datang kepadanya, Talib cuma mengarahkan lensanya merakam momen kemusnahan itu dengan berkesan.
Namun kegembiraan Talib tidak lama. Talib ada mengadu kepadaku. Talib kata dia silap. Momen tidak ubah seperti sisa, penuh dengan kepalsuan. Dia sudah jemu merakam gelagat pelanggannya yang menangis sendu pada detik-detik puncak penceraian, kata Talib kecewa.
Aku segera mencapai lensa dan terus merakam Talib pada detik itu. Sekeping kertas licin tebal melucut keluar dari badan kamera, dan taktala dikibas-kibas warna-warna pudar terus galak meruwap hingga menerbitkan titik-titik warna yang bersatu menjelas bentuk momen-momen kemusnahan Talib. Aku tunjuk keping itu pada Talib. Palsu,kata Talib sambil ketawa.
2 comments:
Teringin nak berkenalan dengan Talib. Kirim salam sayang padanya.
Ok sayang. nnti saya sampaikan pada Talib
Post a Comment