Monday, September 17, 2012

Cinta terpakai dari Bazar Karat. Sebuah kisah benar tiga muka surat dari bandar paling selatan.

Mereka sudah mahu pulang. Aku kata, tunggulah di kereta. Aku ada sesuatu yang mahu diselesaikan. Mereka kata, cepat sedikit. Aku kata, bagi aku sepuluh minit.

Aku tipu mereka. Aku berjalan pantas merempuh susunan manusia yang padat berselerak. Ribuan mereka gigih menongkah arus aku dan kemahuan. Namun aku cukup pantas, cukup pantas untuk segera tiba di lengkungan jalan berdekatan bangunan CIMB. Di celah-celah manusia, aku nampak khemah yang menjual kain cadar dan langsir rumah. Di celah-celah manusia, aku nampak si gadis sedang sibuk melayan manusia yang kira-kira agak ragu mahu membeli kain cadarnya. Aku memerhati.

Rambut dicekak mudah , sanggul lepas yang lurut ke paras bahu. Aku menganggar, umurnya sekitar lewat 20an mungkin.Malam ini,dia berbaju kemeja kemeja jarang yang menampakkan transperansi tali baju dalamnya. Malam ini,seluar hitam. Apa yang masih sama, malam ini senyuman gadis masih seperti senyuman dia pada malam hujung minggu lepas. Ataupun malam dua minggu lepas. Ataupun malam tiga minggu lepas. Ataupun malam sebulan lepas. Gigi depannya yang sangat sedikit mencungit, sebenarnya membuatkan dia lebih manis. Aku ketagihan senyuman gadis.

Apa yang berbeza, cuma aku. Aku yang minggu ini bukan lagi datang untuk memerhati seperti malam-malam minggu yang lepas. Aku minggu ini, lebih berani.

Lagi seminggu sebelum menjelang Hari Raya Aidilfitri. Cukup ramai manusia dan kehendak yang menghurung bazar karat. Dan makin cukup ramai pelanggan yang harus gadis layani. Gadis sibuk. Aku mahu masa yang sesuai. Masa yang sesuai akan membantu aku untuk bertanya nama gadis. Aku mahu menagih nombor telefon gadis untuk dihubungi. Aku mahu gadis.

Jadi aku menunggu di pinggir khemah menjual kain cadar dan langsir rumah, berpura-pura melihat kasut terpakai di gerai hadapan. Gadis sibuk. Aku tak mahu soalan aku nanti mengganggu gadis. Biar aku menunggu reda di pinggir. Aku nampak brader menjual kasut terpakai bagai sudah hairan melihat aku lama-lama di situ .

Aku berpura-pura melihat jam di tangan. Sekejap-sekejap aku berpura-pura meneropong sekitar. Aku menunggu kawan. Setidak-tidaknya aku cuba tanamkam pemikiran itu di benak lelaki menjual kasut terpakai. Lengang dan kosong menjadi tetamu perniagaannya ketika itu. Lebih ramai yang cuma mengimbas lalu. Mungkin kerana itulah, dia lebih betah memerhati aku yang sebenarnya memerhati gadis.

Entah bagaimana dia mahu menyambut Aidilfitri dengan prestasi perniagaanya ketika itu. Sedetik perasaan ingin tahu dan belas bertanya kepada aku. Bagaimana rasa peritnya menjana pendapatan dengan menjual kasut terpakai di pasar malam seperti itu. Sudah berkeluargakah lelaki bertubuh besar dan berjambang tebal itu? Aku cuba meletakkan diri aku di dalam kasut terpakai lelaki awal 30an itu.

Memang ramai manusia yang mengunjungi bazar karat pada hujung-hujung Ramadhan ini. Namun memang benar, lebih ramai yang hanya mengimbas lalu. Tarikan kasut terpakai masih belum cukup kuat untuk Aidilfitri pertama. Tidak sekuat kedai menjual kain cadar dan langsir rumah seperti di hadapannya.Cukup kencang gayanya perniagaan yang dibantu kendali seorang gadis remaja putih kulit dan kemejanya itu.

Mungkin itu seri yang tiada pada kasut terpakai yang aku longgok berselerakan, kurang menggamit pelanggan.Lelaki berseluar jeans pendek yang tercegat di hadapan aku ini juga sama. Cuma menjadikan sedikit lapang di hadapan kasut-kasut aku sebagai ruang menunggu. Mungkin menunggu kawan yang berjanji di situ . Sejak tadi dia asyik menoleh jam tangannya sahaja.Aku memerhati.

Agak lama lelaki seluar pendek berbaju hitam dengan tulisan Jepun itu tercongok di situ. Kawannya belum tiba lagi, aku fikir. Sehinggalah lama itu, dia berjalan ragu menuju ke kedai menjual kain cadar dan langsir. Dia mahu melihat-lihat kain cadar pula agaknya, aku fikir lagi.

Kebetulan juga tiada pelanggan lain di kedai kain cadar dan langsir rumah ketika itu. Gadis berkemeja putih segera merapati lelaki seluar pendek. Bukan. Bukan begitu. Lelaki seluar pendek sebenarnya yang mendatangi gadis kemeja putih. Dia terus berkata sesuatu, yang mana jarak dan bingit membatasi pendengaran aku. Aku cuma memerhati.

Gadis kemeja putih seakan kelu tidak terkata. Mungkin soalan lelaki berseluar pendek, membunuh keramahannya melayan kerenah pelanggan sebentar tadi. Lelaki berseluar pendek nampak takut-takut tetapi nekad, gadis kemeja putih pula terus memandang lelaki seluar pendek, dan begitu juga sebaliknya. Tetapi tiada dialog. Cuma bisu atau aku yang tidak mendengar. Mungkin harga yang ditawar lelaki seluar pendek itu tidak masuk akal bagi gadis. Mungkin juga.

Lelaki berseluar pendek, mengelurkan pula telefon pintar dari poket kanan. Dia berkata sesuatu lagi. Kali ini gadis menjawab. Dan mereka bertukar-tukar kata lagi. Tapi aku kurang pasti apa. Lelaki berseluar pendek semakin berani tidak berani menawar. Gadis kemeja putih menjawab sambil tersenyum setuju tak setuju. Aku tidak mendengar apa-apa. Aku cuma memerhati semua.

Dan perbualan mereka tidak berlangsung lama. Gadis kemeja putih berlalu pergi sambil berkata sesuatu seakan setuju tak setuju,  dan kembali sibuk dengan potensi pelanggan yang baru tiba. Lelaki berseluar pendek , tidak pula cuba mengekori. Dia juga beredar sebaliknya samhil tersenyum sendiri, sama ada puas mendapat atau puas mencuba.

Aku tak tahu. Aku tidak mendengar apa-apa. Aku cuma memerhati semua sambil menunggu siapa-siapa yang sudi menjual kasut terpakai aku.

No comments: