Sunday, November 17, 2013

A Moment To Remember (episod 1)

*cubaan me-review filem secara konon-konon deep 

*************************************************satu *************************************************

   Tidur kami dikejutkan dengan kepulangan Haji sekeluarga  kira-kira pukul 5 pagi,  mengarahkan kami berpindah ke bilik tetamu disebelah. Dia mengosongkan rumah itu 2 minggu sebelumnya untuk mengunjungi saudara rapat di bandar Acheh bersama isteri, anak perempuan dan seorang supir yang juga adalah menantunya. Wajarlah dia diserang prasangka apabila kepulangannya awal pagi itu ditamu 3 lelaki asing yang bersarang di atas katil anaknya.

Saya menghulurkan salam kepada Haji sambil memperkenalkan diri sebagai Mazlan, diikuti Hamidi. Mujur juga Zulkifli ada menyambut kepulangan Haji tadi. Dia masih belum tidur kerana menemani Syaufiq keluar rumah untuk menuju ke Lapangan Terbang Polonial 2 jam sebelum itu. 

"Jadi kamu semua ni kawan Syaufiq di Malaysia?. Siapa nama tadi?"tanya Haji dalam telor Jawa. Saya memperkenalkan diri sebagai Mazlan kemudian membiarkan Dzulkifli yang menyusun perbualan selebihnya.

Dzulkifli memperkenalkan dirinya sekali lagi dan cuba mengingatkan Haji tentang pertemuan pertama mereka berdua 3 tahun lepas , yang mana ketika kunjungan itu Syaufiq juga ada bersama. Haji gagal mengimbas memori. Sebaliknya, orang tua lewat 70an itu lebih berminat untuk menjelaskan alasannya memindahkan kami ke bilik bertiga tetamu, kerana menganggap bilik yang dihuni kami sebelumnya sebagai 'kurang selesa".

"Mazlan,"celah saya apabila Haji bersusah-payah cuba merujuk saya dalam perbualannya.

Walaupun masih diserang letih mengharungi 6 jam perjalanan dari danau Toba ke pekan Medan semalam, saya serta-merta menjadi segar akibat terperosok dalam situasi janggal dan berpura-pura. Sebagai seorang yang cukup negatif, saya begitu mudah jatuh benci pada banyak perkara .Tetapi jika saya harus memilih cuma salah satunya ketika itu, saya akan menarik kad "berpura-pura peramah dan mencipta perbualan ". Jadi lebih mudah ketika itu untuk saya cuma mendengar. 

Namun apa yang menimbulkan perasaan kurang senang saya ketika itu, omongan Haji pagi itu sering diselang dengan kekerapannya bertanyakan nama kami bertiga setiap tempoh sesingkat 5 minit. Mungkin benar kata Murakami, masa akan memilih apa yang berbaloi untuk diingati, dan apa yang berbaloi untuk dilupakan.

Setidak-tidaknya rasa kurang senang itu masih ada sehinggalah saya cuba menulis ini tadi.  Saya sendiri gagal untuk mengingati nama orang tua Jawa yang menumpangkan strangers berkewarganegaraan asing seperti saya dirumahnya setahun dulu. Dan sebagai tanda berterima kasih akan jasa baik yang saya terima, apa yang saya mampu lakukan cumalah memanggilnya dengan gelaran Haji.

bersambung.........
.

1 comment:

Wadi AR said...

arsenal haritu berapa bang?