Thursday, July 25, 2013

Di ambang

Kata orang , ketika seseorang berada di ambang maut, dia akan terbayang wajah-wajah orang tersayang. Wajah-wajah itu akan muncul silih berganti merayu tangis agar engkau jangan pergi meninggalkan mereka, sedangkan ketika itu engkau cuma mampu kelu tidak bereaksi. Peliknya petang semalam, saya langsung tidak nampak apa-apa. 

Telahan saya cuma dua, sama ada saya belum benar-benar menyayangi sesiapa, ataupun secara teknikalnya saya masih lagi belum berada di ambang maut. 

Saya masih ingat dengan jelas pada kelajuan melebihi 100 kilometer sejam,  halaju motor saya mula menyaingi halaju sebuah lori pasir di sebelah kiri jalan, sebelum simen kering berbatu yang pegun di persimpangan sebuah kuari menerbangkan saya dan motor menentang hukum graviti. Kemudian motor mendarat semula secara tidak sempurna, yang mana kali ini halaju saya sendiri kini lebih tinggi daripada halaju motor dan lori. 

Tidak ada wajah-wajah orang yang tersayang datang silih beganti. Sebaliknya, kepala saya cuma seakan mesin perakam yang menghafal kronologi ambang maut saya tadi secara gerak perlahan.  Saya terbang beberapa meter, sebelum tubuh saya terseret di atas gerutu jalan lagi beberapa meter. 

Dan apabila saya sangka fizik geseran sudah berkurangan, saya cuba menstabilkan badan sebelum saya bergulung semula diasak momentum yang masih bersisa, lagi beberapa meter. Dan mesin perakam tadi sehingga hari ini, masih mampu memainkan semula dengan jelas momen-momen kepala dan kaki saya silih bertukar putarannya ibarat roda, atas dan bawah sebelum akhirnya muktamad untuk berhenti. 

Saya cuma bernasib baik. Saya benar-benar menyangka saya sudah di ambang maut sekiranya saya terpelanting ke bawah lori buta yang memecut sebaliknya. Namun sebaik sahaja saya masih mampu segera berdiri tegak di tepi jalan dengan tangan yang penuh luka-luka bagaikan  seorang rambo, maka tahulah bahawa saya cuma leka dihanyut ambang wati.

Hari ini, saya terbukti masih hidup, menaip dengan satu jari telunjuk sebelah kiri.

.

4 comments:

Wadi AR said...

berdebor tak tunggu keputusan?

tiada idea said...

scene ni sama macam scene langgar batu kerikil je ni

Roronoa said...

wadi
-aikkkk keputusan apa?

Roronoa said...

hahahaha fuckkk u