Thursday, May 16, 2013

Fahami Cikgu Asmadi (cerpen saku sempena Hari Guru)


Tiada hati yang lebih berbunga-bunga selain daripada hati cikgu Asmadi (bukan nama sebenar) ketika itu yang baru beberapa minggu menerima kehadiran sebuah Proton Wira baru ke dalam hidupnya. Lebih manis lagi, kereta itu dimiliki dengan pahit getir peluhnya sendiri demi membantu meneruskan kelangsungan hidup dan dijangka membawa nilai tambah pada kebolehan mengoratnya selepas ini.

Hari ini, cikgu Asmadi ditugaskan untuk menghantar 3 orang murid Tahun 5 ke pertandingan sepak takraw peringkat zon yang akan diadakan di Sekolah Kebangsaan Teluk Panglima,  terletak di mukim sebelah. Pada mulanya cikgu Asmadi agak berat untuk menswastakan kereta barunya, namun GPK Kokorikulum menegaskan yang dia boleh membuat claim kemudian nanti. Cikgu Asmadi akhirnya akur. Lagipun dia juga berasa seakan malas mengajar . Peluang bertugas di luar kawasan sekolah seperti itu, seharusnya segera dimanfaatkan.

“Habiskan air milo tu dulu,tumpah nanti,”pesan cikgu Asmadi kepada Ikwan,selaku apit kanan yang sedang membetulkan sandar pada kerusi belakang. Tangannya memegang cawan milo yang tidak bertutup dengan berhati-hati seraya tersenyum penuh yakin. Talib Songkok selaku tekong utama di sebelahnya menyokong.

“Takpe cikgu. Saya pegang elok-elok,”

Cikgu Asmadi sekadar mengiyakan. Malas dia mahu berkeras sangat. Dijelingnya murid itu melalui cermin pandang belakang sambil menarik tali pigang keledar menyilangi badan. Riduan di sebelahnya ikut sama. Dalam pertandingan sebentar nanti, Riduan akan memegang peranan sebagai apit kiri.

Kaki kiri cikgu Asmadi menekan clutch, masuk gear satu , diangkatnya brek tangan sebelum dilepaskan clutch semula berhati-hati seraya dipijak kawal pendikit minyak dengan penuh ketenangan. Kereta cikgu Asmadi terus megah menyusur keluar perkarangan sekolah dengan hati yang berbunga-bunga.

Dan bunga-bunga hati cikgu Asmadi terus mekar sepanjang perjalanan yang cukup lancar sekali, setidak-tidaknya sehinggalah melepasi kilometer tujuh apabila cikgu Asmadi yang sedikit khayal menekan brek secara agak mengejut apabila tumpuannya lewat mengesan bonggol jalan yang agak tinggi . Mujur dia cuma memandu pada kelajuan sederhana. Segalanya dalam kawalan.Cikgu Asmadi tersenyum senang.

Sssssssssrett..

Senyap dan hampir tidak berbunyi, menandakan system brek kereta baru Cikgu Asmadi masih berada pada tahap yang cemerlang. Namun cikgu Asmadi harus faham, inertia masih patuh menjatuh hukumnya. Cikgu Asmadi mengesan pergerakan kasar di ruang belakang, diikuti bunyi benda jatuh. Senyumnya mati.

Cikgu Asmadi cemas lalu menoleh ke belakang. Dilihatnya Ikwan masih sihat seperti biasa, namun sedikit kelam kabut mengelap cairan coklat yang begitu lekas dihisap fabrik tebal yang membaluti kerusi. Dan di luar kecekapan Ikwan, maha coklat itu segera habis diserap lalu hilang meninggalkan tompok basah yang mula bersatu padu pada permukaan kerusi, besar dan menyakitkan hati.

Saat itu juga, bau milo mula merayapi kesegenap ruang kereta, singgah melalui bulu-bulu hidung cikgu Asmadi lalu membakar api. Cikgu Asmadi bagi signal kiri. Keretanya diperlahan sebelum akhirnya berhenti di pinggir jalan yang berdebu.

PAnggggggg...

Selang beberapa saat, kelihatan kereta baru cikgu Asmadi kembali menyusur perlahan memasuki semula laluan paling kiri sebelum  terus meluncur laju menuju destinasi. Di sebalik kemegahan Proton Wira itu, siapa tahu didalamnya ada menumpangkan hati  yang sedang membengkak pilu.

Mungkin jika ada satu-satunya insan yang faham akan perasaan cikgu Asmadi ketika itu , cuma Ikwan di kerusi belakang yang sedikit berair matanya sambil mengusap-usap pipinya yang bertukar kemerahan.


*Diolah semula berdasar sebuah kisah benar yang pernah terjadi beberapa tahun dahulu dalam sistem pendidikan negara kita. 

2 comments:

Sang Harima said...

Cerita hari guru paling steady. Haha.

Wadi AR said...

hahaha. power power