Sunday, March 24, 2013

Pahang sejahtera

Saya masih ingat dengan dengan baik satu babak di dalam drama-drama tipikal Melayu yang bergenre gangster. Seorang lelaki yang kusut masai dan suka berhutang akan cuba lari membawa diri ke daerah sembunyi, jauh daripada cengkaman pengaruh lintah darat tadi. Mungkin juga dia berhutang di Perlis, dan dia bersembunyi di Dangan Bay, Johor. Mungkin, tapi ini cuma contoh.

Namun tidak kira sehebat mana dia berlari, takdirnya akan berakhir dengan babak dia ditangkap juga oleh lintah darat tadi. Seperti biasa, lelaki botak selaku ketua gangster yang bertatu di atas lengan kanan dengan jaket bergambar naga di belakang akan mengacu pisau di mulut lelaki berhutang yang sudah terbaring di lantai tidak bermaya. Saya masih ingat dengan jelas, ketua gangster akan mengejek lelaki berhutang tadi sambil ketawa.

"Malaysia ni kecik je. Kau ingat kau boleh lari " 

Saya juga masih ingat dengan jelas, satu babak lain juga dipetik daripada drama-drama Melayu tipikal yang sering ditayangkan ketika umat Islam sepatutnya bersiap-siap untuk sembahyang Maghrib. Kali ini, ia bergenre cinta bertepuk sebelah tangan.

Selalunya, seorang perempuan selaku heroin cerita akan melakonkan watak muram dan menangis pada posisi meniarap dengan sebiji bantal terperosok di bawah dada. Lagu latar yang sedih dimainkan. Sehinggalah kawan mangsa, memegang watak sidekick akan masuk ke dalam bilik selepas jemu mengetuk pintu beberapa kali tetapi tidak mendapat jawapan. Kali ini dia masuk tanpa izin, kurang ajar. Sudahlah kurang ajar, memandai-mandai pula dia menasihati heroin yang muram tadi dengan kata-kata yang luarannya cukup menyedapkan hati.

"Malaysia ni besar. Banyak lagi lelaki-lelaki baik dekat luar sana. Ko jangan sedih-sedih okey,"


Saya jadi keliru. Cikgu Geografi saya dulu tidak pula menekankan sama ada Malaysia ini sebenarnya kecil atau besar. Tapi jika benar awak (perempuan sahaja) berminat ingin mencari lelaki yang baik-baik, apa yang saya tahu Pahang adalah negeri terbesar di Semenjung Malaysia. Sudah pasti peratusnya lebih tinggi.

No comments: