Saturday, November 10, 2012
Talib membantu malaikat (Paranormal Aktiviti : Dua )
Pagi tadi Talib bangun awal. Talib pergi beli sarapan di kedai makcik nasi lemak yang meniaga di parking taman dalam roundabout Bukit Indah. Lokasinya berbunyi agak complicated dan perlukan GPS, tapi sebenarnya cuma terletak betul-betul seberang rumah Talib.
Selepas mandi,Talib jalan kaki pakai seluar pendek. Dia melintasi perhentian bas dari arah belakang. Ada seorang India tua sedang duduk di bangku yang mana masih bertakung air hujan malam tadi di sekelilingnya. Talib senyum pada lelaki tua dan pura-pura menegur sambil membangkitkan isu perparitan dan kelemahan kerajaan. Lelaki tua senyum.
Semasa pulang, lelaki India tadi masih di situ. Talib bertanya sama ada dia sudah makan atau belum. Dia mengadu lapar dan tidak boleh berjalan. Jadi Talib beri sebungkus kuih yang di belinya tadi kepada lelaki India, lalu naik ke rumah.
Dari tingkap bilik master tingkat dua yang kosong tak berpenghuni, Talib menjenguk ke luar perkarangan rumah sambil mencucuh rokok. Talib nampak aku sedang terkocoh-kocoh mengangkat jemuran di pagar. Talib tengok pula langit. Tiada pula nampak tanda-tanda mahu hujan. Talib malas nak ambil peduli. Biarkan. Talib tak mahu bertanya.
Talib melemparkan pula pandangan ke arah perhentian bas di depan rumah. Kosong. Tiada siapa-siapa lagi di situ. Lelaki India tadi sudah tiada. Talib hairan.
"Mana pergi lelaki India tadi,"monolog Talib penuh hairan.
Dalam fikiran Talib, terbayang kisah-kisah alam ghaib yang pernah dialami oleh orang-orang yang suka bercakap besar, mahupun kontranya pada orang-orang yang beriman dan mampu berinteraksi dengan dunia satu lagi.
"Boleh jadi yang tadi tu adalah malaikat,"bisik Talib kepada dirinya.
Lama Talib termenung memikirkan perihal lelaki India tadi. Talib menjenguk ke luar tingkap sekali lagi, cuba meninjau kawasan sekeliling perhentian bas. Memang benar lelaki India tadi sudah ghaib. Kelibat aku yang selesai mengangkat jemuran juga tiada lagi. Sudah masuk ke dalam rumah agaknya, fikir Talib.
Talib mendongak ke langit. Hari semakin cerah dan cuaca juga nampak baik. Mengapa aku mengangkat jemuran sedangkan hari bukannya hujan?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
mungkin nak dekat raya deepavali gamaknya
mesti x paham ni!
kemon la wadi kemon laa...kahkahkah
Post a Comment