Kata orang, daerah Temerloh sebenarnya lebih dikenali sebagai titik pusat Semenanjung Malaysia. Mengikut kata orang lagi,jika begitu Kuala Lumpur wajarlah dikenal sebagai ketiak semenanjung oleh kerana kedudukan yang sedikit ke atas berbanding Temerloh.
Kata orang juga, Kuala Lumpur adalah tamadun dosa yang penuh hiruk-pikuk budaya sosialnya. Namun kata orang lagi, ada satu tanah yang dikhabarkan lebih Kuala Lumpur daripada Kuala Lumpur terletak di daerah yang paling selatan.
Sepagi di daerah paling selatan, gua terserempak dengan seorang wanita awal 40an mungkin, ketika gua pulang dari lunch hour. Dia tampil sebagai seorang wanita yang menghampiri titik umur menopause, tipikal perempuan gosip di meja ofis dengan personaliti suara tinggi dan baju kurung moden bertudung segera mendedah separa rambut.
Namun keseluruhannya,pada skala drama tipikal Melayu dia amat kelihatan seperti seorang ibu cengil yang betah mengongkong lantas menjodohkan anak daranya sendiri mengikut pilihan keluarga.
Memudahkan cerita, macam Rosmah Mansur tetapi pada saiz dan berat yang lebih kecil darjahnya.
Namun pagi itu itu di daerah paling selatan, kondisi sedikit berbeza. Dia masih dengan baju kurung moden dan tudung segera, tetapi dia bukan berada di pejabat kebiasaannya mengangkat nada suara.Kali ini dia sedang berdiri tegak di tepi kaki lima pejabat yang lazimnya menjadi tempat brader-brader welding dan cordinator industri berat.Dicelah jari wanita itu tersisip sebatang rokok yang masih berbara.
Gua sebagai seorang anak Felda yang kerap tampil dengan stereotaip seorang ibu yang sedang menjinjit bakul rotan berisi petai,pucuk paku dan ikan tembakul sambil memimpin anak kecil yang comot berhingus di pasar desa,pemandangan seperti tadi cukup baru dan tidak disenangi.Maka gua cuma berselisih pantas tanpa berani menoleh lama.
Mungkin benar kata orang,tanah yang lebih Kuala Lumpur daripada Kuala Lumpur terletak di daerah paling selatan.
Nampaknya Kuala Lumpur kena berusaha dengan lebih kuat lagi.
2 comments:
ouh, begitu
Lebih kurang begitu.
Post a Comment