Friday, May 4, 2012

Inception Cinta Jamal

Jamal merenung gadis di meja hujung itu lama-lama, meneropong setiap inci susuk indah itu persis seekor anak singa yang baru belajar memburu. Mahu mengembara tetapi takut meredah belantara. Mahu melintasi tetapi bimbang untuk menyeberangi. Akhirnya sudah berjam dia mengeras di situ , lelah berfikir dialog wataknya sekejap lagi dan penat mengolah skrip reaksi untuk gadis itu nanti. Belum pun tiba pada awal babak perbualan, fikiran Jamal sudah merumus plot-plot perpisahan yang memalukan.

Akhirnya setelah puas Jamal berpeluh sendiri bertarung dengan rasa berani tidak berani , tiba-tiba fizikal dirinya membebas daripada belenggu lebihan pemikiran. Dengan yakin, Jamal menghala langkah ke arah gadis berkurung putih dan berambut lepas ke cecah bahu yang sedang tekun menalaah buku di satu sudut perpustakaan.

"Yang awak sibuk sangat nak tahu kenapa. Biar la saya nak buat apa,pergi mana, dengan sapa sekalipun ! Awak siapa nak tahu ? " bentak Hanis Syakila binti Datuk Ramzi dengan lantang sebaik sahaja Jamal mengajukan soalan kepadanya. Jamal kaget. Buntu dan kaku memboneka tindak balas Jamal. Pasang-pasang mata memerhati Syakila dan Jamal bersilih ganti, lalu menyimpulkan situasi mengikut kefahaman sendiri.

Pammm.!

Syakila menepuk meja. Jamal cuma diam sambil mengeluh tenang. Pandangannya dilemparkan pada Hanis Syakila yang masih begitu tekun tidak berganjak dari meja, begitu asyik dengan dunia bukunya. Sedikit pun dia tidak menyedari pandangan Jamal yang semenjak tadi membogel gerak-gerinya dari kejauhan.

Jamal tekad. Jamal ambil nafas dalam-dalam. Dengan yakin, Jamal menghala langkah ke arah gadis berkurung putih dan berambut lepas ke cecah bahu yang sedang tekun menalaah buku di satu sudut perpustakaan.




No comments: