Wednesday, April 30, 2014

Cikgu Daud (episod 2)

Dalam novel Norwegian Wood, Murakami pernah menimbulkan persoalan tentang kecenderungan ibu bapa yang mula memilih untuk mempunyai anak kesayangan apabila anak-anak mereka mula menganjak dewasa.

Daud masih ingat, ketika dia sibuk menerangkan konsep persamaan linear menggunakan papan putih di hadapan kelas, seorang murid lelaki Tingkatan 2, berambut cacak dan berjersi Manchester United , terkinja-kinja menyampuk dan cuba bergurau senda. Daud terhenti kerana sedikit terganggu.

Ini kisah tentang Daud, seorang guru. Pada usia 24 tahun, Tuhan memberikan kesempatan pada Daud untuk mengalami sendiri persoalan Murakami itu tadi.

Semenjak Daud kecik lagi, dia cukup percaya terutamanya melalui butir ucapan bekas-bekas gurunya, bahawa seorang guru cukup menyayangi semuanya anak muridnya. Namun pada Daud sekarang, itu cuma sekadar pembohongan tradisi. Guru juga cumalah manusia biasa, dan manusia biasa menyebarkan kasih sayang secara tidak sama rata.

 Memang benar Daud mungkin memberikan semua anak muridnya layanan yang sama, tapi bercakap soal rasa, Daud menyayangi mereka secara berbeza-beza. Secara tidak sengaja, Daud mula mempunyai murid kegemarannya sendiri dan mengkategori pula murid yang dalam "status pemerhatian". Pada mata Daud, cukup jelas mengapa dan siapa yang dia suka ataupun tidak suka. 

"Selagi pasukan United kau tu duduk nombor 7 liga, jangan mengada-ngada nak bercakap dengan aku. Duduk diam-diam,"balas Daud secara mengejek kepada murid tadi. Dia tersengih-sengih dan kembali ke tempat duduk, tidak menjawab.. 

Dan sesungguhnya kata-kata seorang guru itu membawa seribu satu keberkatan dan doa. Penghujung musim itu, Manchester United terus kekal di tangga ketujuh Liga Perdana Inggeris.


No comments: