Saturday, January 18, 2014

Inersia (episod 2)

Ini bukan kali pertama dia muncul dalam plot mimpi yang sama dan berulang .Cuma sayangnya sebelum ini tayangan mimpi itu tidak pernah sempat menemui penamat setiap kali aku terjaga. Aku yang terdampar di dunia lain yang tandus dan memutih, berdiri dan bingung, hingga muncul seorang wanita asing bergaun putih mempelawaku untuk menikamnya dengan pedang berhulu emas. Dan acap kali ketika aku yang sedang teragak-agak ketika cuba mencapai pedang yang dihulurkan gadis itu, deringan nyaring jam loceng bergetar dari atas lampu meja segera menggoncang dan mengeheret keluar aku dari perjalanan mimpi yang mendaki puncak.  

Bagaikan jarum jam yang terus patuh berdetik dari nombor ke nombor, melengkapkap  pusingan demi pusingan, kitaran mimpi itu terus dimainkan hampir setiap malam semenjak 2 minggu yang lalu. Ketakutan yang pada mulanya menjadi agenda setiap kali aku cuba melelapkan mata , kini perlahan-lahan mula disisihkan perasaan ingin tahu akan penamat kepada ulang mimpi tersebut. 

Dan keinginan itu ternyata sudah bertukar menjadi raksasa ketagihan apabila aku tidak lagi bernafsu untuk mengejutkan dan menyetubuhi Aliya yang terbungkang di atas empuk katil, setiap kali aku menjenguk kamar itu selepas pulang kerja lewat malam. Tubuh kurus bertube hitam itu mengkerekot menghadap dinding dengan selimut yang cuma menutup bahagian bawah pinggang , posisi yang bagaikan sudah menjadi default template yang dicatat pemerhatianku semenjak kami mula berumah tangga 7 tahun lepas.

Tanpa mandi dan sentuhan solat terlebih dahulu, aku merebahkan tubuh tidak berbaju di sebelah Aliya. Lutut dan peha kami sedikit bergesel  ketika aku cuba menarik selimut yang terhenyak di bawah berat kakinya yang tidak berseluar. Aku diserang adrenalin yang debarkan dada. Deras darah yang menujah setiap inci tubuh meniupkan rasa tidak sabar dan sedia. Aku membalikkan tubuh beberapa kali, cuba membetulkan posisi tidur dan sebaik sahaja menemui yang paling selesa, aku segera pejamkan mata. Moga mimpi berkunjung lagi. 

.

No comments: