Thursday, June 13, 2013

Jurnal seorang lelaki

Pada satu tahap di dalam hidup kita, seharusnya kita tiba-tiba terangsang minda untuk merakamkan kisah pengembaraan hidup mengejar impian kita ke dalam sebuah jurnal.  Begitu juga saya. Jadi saya beli sebuah beli sebuah buku nota kulit hitam keras bersaiz A5, sederhana tebal ,tidak fancy.

Untuk hari pertama, saya tuliskan catatan tentang pagi yang cukup biasa harus saya lalui , sebagai seorang lelaki marhaen yang punya impian yang belum terlaksana. Mungkin saya akan mengejar impian itu nanti, tetapi bukan bermula hari ini. Jadi jurnal hari pertama saya cumalah lakaran pengalaman pagi yang gersang dan terjadual , begitu juga sebelah petang , sebelum menganjak malam yang cukup mendatar dan lurus garis rutinnya.

Hari kedua saya dan jurnal, saya tidak lupa merekod aktiviti saya yang tidak ketara bezanya dengan hari sebelumnya pada halaman dua. Segalanya hampir serupa,

Begitu juga hari ketiga saya dan jurnal. Sehinggalah saya mengambil keputusan untuk menyalin bulat-bulat catatan pada halaman dua terus ke halaman tiga. Kitarannya bermain pada corak yang sama, jadi mengapa catatannya perlu dikarang berbeza.

Dan untuk hari keempat, kelima, keenam, ketujuh, kelapan dan hari-hari seterusnya saya dan jurnal, saya terus menyalin setiap baris dan patah kata catatan daripada halaman terakhir yang bertulis, terus ke muka surat sebelah yang bergaris kosong. Lebih mudah begitu, dan hari-hari saya yang tidak pernah terlupa untuk menulis jurnal.

Hari ini , sudah tahun keberapa saya menyelesuri rutin hidup, lalu merekod mereka ke dalam jurnal yang sudah sering habis bersilih ganti. Saya simpan dan kumpulkan mereka koleksi jurnal-jurnal kehidupan saya, dan sehinggalah pada suatu malam saya menyusun mereka di atas meja. Ada tujuh belas jurnal  semuanya, ditindan meninggi mengikur urutan jurnal yang pertama sehingga yang paling terkini.

Menganjak subuh, barulah selesai saya membaca semula jurnal-jurnal yang mengisahkan pengembaraan saya mengejar impian itu. Lalu saya mengeluh panjang apabila merenung lama pantulan wajah yang tersingkap di muka cermin berhadapan meja. Ada seorang lelaki yang sudah beruban separuh kepala dan berkerut kulit dahinya sedang menyelak helai demi helai muka surat naskah-naskah jurnal yang semakin membanyak jumlahnya , sedangkan isi catatan jurnal itu masih pada muka surat dua.


2 comments:

Wadi AR said...

persoalannya bila nak nikoh?

Roronoa said...

aku tunggu undang2 gay diluluskan Parlimen.