Wednesday, December 28, 2011

Tuhan sengaja

Hidup ni jangan kau sangka macam roda.Sekejap di atas menghadap langit , sekejap di bawah menggelek tahi.Ada turun naik mengikut tempoh berkala pada ketepatan jitu.

Tapi masyarakat sekarang bukan lagi bergerak mengikut landasan lama yang bersistemkan susah senang silih berganti.Sekali engkau sudah mendaki ke atas,selalunya kau akan terus berada di atas.Engkau akan segera membina tapak yang kukuh dan luas di puncak,supaya tiada ruang engkau jatuh ke dasar lagi.Engkau akan segera menurap rompong-rompong yang mampu buat engkau tersadung terjatuh.Sekali engkau sudah berada di atas, empayar dan keturunan engkau cenderung untuk terus berada di atas.

Dan mereka yang berada di bawah,akan terus gigih mendaki mengejar puncak yang seakan semakin meninggi.Dan gigih itu tidak berbayar usahanya.Terkapai-kapai,hina dan terhalang oleh perangkap orang bangsawan di pertengahan pendakian.

Hidup ini bukan macam roda.Hidup ini abstrak mengikut acuan penciptaNya.Tuhan itu tahu letak tempat makhlukNya seharusnya.Kadang-kadang Dia sengaja meletakkan engkau di bawah ,dan kadang-kadang Dia sengaja meletakkan engkau di atas.

Esok bila engkau berada di bawah,jangan kau lupa untuk bersyukur pada apa yang ada.Dan esok apabila engkau sudah berada di atas,jangan sekali-kali kau bongkak dan lupa,dan semakin lupa...

Kerana engkau harus ingat, lupa itu sebenarnya juga adalah satu hukuman.

.

.