Sunday, May 29, 2011

Hikayat Safwan Meh

Senja yang sungguh padu itu,matahari yang tadi berlagak terik sangat kini semakin diheret tenggelam ke Barat.Lalu itu,mega merah yang terang benderang tercipta menembusi awan-awan nipis yang berkeronyok di ekor langit.Dan memang semenjak dari kanak-kanak lagi,bila ternampak langit merah gua akan automatik teringatkan Raja Zulaika.


"Mak aku cakap,kalau langit warna merah tandanya banyak udang dekat laut,"ujar Safwan Meh seraya mengesat hingus pada pangkal lengan baju.

Gua yang sedang mengetuk-ngetuk guli tuju pada sebiji guli susu yang lain,terhenti seketika.Memang pada zaman itu,budak-budak seusia gua banyak mengamalkan beberapa kepercayaan karut yang kononnya boleh mendatangkan power lain macam.Namun ketika itu gua lebih tertarik dengan kepercayaan ibu Safwan Meh.

Sekejap gua pandang Safwan Meh.Sekejap lagi gua pandang atas langit.Sekejap lagi gua pandang Safwan Meh semula.Sambil itu gua cuba mengaitkan hubung kait isu tersebut dengan logik akal,ilmu sains,sifat cahaya,ketumpatan air laut dan harga udang kering di pasaran.Lama itu,barulah gua mengangguk perlahan.Sebenarnya sengaja gua tidak mahu berterus terang betul-betul dihadapan kepala Safwan Meh.

Safwan Meh senyum berpuas hati.Dia rasa dia pandai dari gua.

.

No comments: